Sunday, October 31, 2010

وداعا لك يا جاهلية : SAYONARA JAHILIYYAH

Seorang mukmin tidak sekali-kali rela untuk hidup dan mati kecuali dalam iman yang dikecapinya itu. Tidak terlintas di hatinya ketika melafazkan kalimah ‘dua kalimah syahadah’ melainkan ia juga merupakan ikrar daripadanya untuk meninggalkan jahiliyyah dan kekufuran buat selama-lamanya.
Hakikat ini boleh dirasai daripada hadis Rasulullah s.a.w (yang bermaksud):
“Tiga perkara yang sesiapa memilikinya, maka dia memperolehi kemanisan iman: Allah dan rasulNya lebih dikasihi olehnya daripada selain keduanya, dan dia tidak mengasihi seseorang melainkan kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kufur sebagaimana dia benci untuk dilontarkan ke dalam api.” [Riwayat al-Bukhari]

Dua golongan berbeza
Perbezaan antara mukmin dan bukan mukmin banyak ditonjolkan di dalam ayat-ayat Allah, antaranya ialah (yang bermaksud):
“Orang-orang yang kafir serta menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Allah sia-siakan amalan mereka. Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan beramal soleh serta beriman dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad dan itulah yang hak dari Tuhan mereka, Allah mengampunkan dosa-dosa mereka dan memperbaiki keadaan mereka. Yang demikian itu kerana orang-orang kafir mengikuti perkara yang batil dan orang-orang yang beriman mengikuti hak dari Tuhan mereka. Demikianlah Allah membuat kepada manusia contoh perbandingan bagi mereka.” [Muhammad: 1-3]

Perbezaan ini bukan sahaja terletak kepada pegangan akidah tetapi juga perbezaan dari sudut ubudiah, amalan, akhlak, matlamat hidup, persoalan yang menjadi perhatian mereka dan juga manhaj hidup yang diamalkan oleh mereka.

Meninggalkan jahiliyyah
Justeru itu, setiap mukmin tidak cukup sekadar untuk mengaku bahawa dia beriman dengan Allah s.w.t dan RasulNya sahaja, bahkan menjadi kewajipannya untuk membentuk diri dan kehidupannya dengan manhaj Islam. Dia mestilah meninggalkan jahiliah secara total. Ini adalah kerana Islam tidak menerima sebarang percampuran antara keduanya.
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam ugama Islam sepenuhnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” [Al-Baqarah 2:208]

Meninggalkan jahiliah ini secara ringkasnya perlu dilaksanakan dengan:
1) Akidah yang sejahtera
Setiap muslim perlu memastikan akidah yang dipegang olehnya adalah benar dan sejahtera serta bersih daripada sebarang kekurangan mahupun penambahan. Kebersihan akidah merupakan titik pemisahan utama, antaranya dengan jahiliyyah.

2) Ibadah yang sahih
Al-Fudhail bin Iyadh ketika menerangkan firman Allah s.w.t (yang bermaksud): “...Untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya” [Al-Mulk: 2] berkata: “Yang paling ikhlas dan yang paling betul amalannya”.
Dia terus menerangkan: “Amalan sekiranya dilakukan dengan ikhlas tetapi tidak betul, ia tidak diterima. (Begitu juga) sekiranya ia betul tetapi tidak dilakukan dengan ikhlas, ia juga tidak diterima, sehinggalah amalan itu dilakukan dengan ikhlas dan betul... Maksud amalan yang dilakukan dengan ikhlas ialah yang dilakukan kerana Allah dan amalan yang betul ialah yang dilakukan mengikut Sunnah”.

3) Akhlak yang murni
Akhlak merupakan salah satu lambang pemisahan mukmin daripada jahiliyyah. Banyak ayat Allah dan Hadis yang menggesa mukmin meninggalkan akhlak-akhlak jahiliyyah, antaranya tabarruj al-jahiliyyah, asobiah jahiliyyah dan lain-lain.
Ini tidak dapat dicapai dengan hanya pembacaan semata-mata tetapi memerlukan kepada mujahadah dan latihan yang berterusan.

4) Manhaj hidup yang lurus
As Syatibi berkata:
“Allah telah menghadkan sesuatu kepada dua perkara: Wahyu iaitu syariat dan Hawa. Tiada lagi jenis yang ketiga selain daripada kedua-duanya” [Al-Muwafaqat: 2/121]
Mukmin hanya mempunyai dua pilihan syariat atau hawa yang menyesatkan. Menjadi kewajipan-nya untuk hidup di atas manhaj Islam dan syariatnya sahaja.
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang l lurus, maka kamu ikutilah dia dan janganlah kamu megikuti jalan-jalan yang lain (dari Islam), kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalan Allah. Yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, agar kamu bertakwa.” [Al-An’am 6:153]

5) Wala’ yang benar
Allah s.w.t telah menentukan garis sempadan wala’ mukmin kepada tiga pihak sahaja iaitu: “Sesungguhnya wali (penolong) kamu hanyalah Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka ruku’ (tunduk menjunjung perintah Allah).” [Al-Maidah 5:55]
Allah juga melarang mukmin menyerahkan wala’nya kepada bukan mukmin: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi orang yang dipercayai...” [Ali Imran 3:118]
Dr. Ali Abdul Halim Mahmud [Tarbiah an-Naasyi’ al-Muslim] memberi beberapa pengertian wala’ iaitu:
• Al-Qurb (mendekati)
• Al-Nusrah (menolong)
• Al-Mahabbah (mencintai)
Berasaskan pengertian ini, setiap mukmin perlu berusaha mendekatkan dirinya kepada Allah, rasulNya dan mukminin, membantu dan mencintai mereka.
Beberapa contoh perlaksanaan wala’:

a) Wala’ kepada Allah
Mentajarrudkan diri kepada Allah, tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.
• Allah lebih dicintai olehnya daripada dirinya dan segala-galanya (keluarga, tempat tinggal, harta benda dsb.)
• Merujuk kepada Allah dalam setiap keinginan, tindakan dan diamnya; ketika berseorangan atau ketika bersama orang lain.
• MentaatiNya dan beriltizam dengan syariat yang dibawa oleh RasulNya.
• Mengimani bahawa manhajNya adalah satu-satunya manhaj yang benar dan tidak mungkin ditukar ganti, seterusnya berjuang dan berusaha merealisasikannya dalam segenap kehidupan.
• Meletakkan ghayah ‘matlamat’ dalam segala usahanya kerana Allah.
b) Wala’ kepada Rasul
• Oleh kerana Rasul s.a.w adalah selaku utusan kepada Allah s.w.t maka wala’nya dilaksanakan sama dengan wala’ kepada Allah.
c) Wala’ kepada mukminin
• Menjadikan akidah sebagai asas ikatan (bukan keturunan, warna kulit, negara, kepentingan ekonomi, sosial atau politik).
• Tiada toleransi dalam masalah akidah dan peraturan hidup antara mukmin dan bukan mukmin. Toleransi hanya wujud dalam masalah muamalat individu.
• Mengambil berat hal ehwal mukminin serta membantu mereka menghadapi permasalahan mereka dan perancangan musuh Islam.
• Mencintai mukminin kerana Allah, selagi mana mereka di dalam ketaatan kepada Allah.
• Menyeru ma’ruf dan mencegah mungkar serta meninggalkan majlis di mana maksiat sedang dilakukan.
• Bekerjasama dalam perkara takwa dan kebaikan.
• Membantu memperkuatkan sof mukmin di samping berusaha melemah dan menghapuskan sof jahili.
Sekiranya perkara-perkara ini dapat dilakukan oleh mukmin, terlaksanalah tuntutan iman yang dipegang olehnya. Jahiliyyah yang berleluasa kini akan menerima nasib yang sama dengan jahiliyyah 14 kurun yang lalu.

No comments: