Saturday, January 2, 2010

2010...

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Assalamua’laikum Warohmatullahi Wabarakatuh.

Sesungguhnya,segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, kita memuji-Nya,meminta pertolongan dan keampunan kepada-Nya.Kita berlindung dari segala kejahatan diri kita dan kejelekan amal-amal kita. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi kita, Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda,tabie’, tabie’in, serta seluruh muslimin dan muslimat yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia dan yang masih bertebaran di seluruh dunia memperjuang dan meneruskan dakwah Islamiyyah.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah SWT ,

Pertamanya syukur kehadrat ilahi kita semua dapat dihimpunkan semula di kampus bumi Labuan ini yang lebih sinonim dengan nama “Beach Campus”. Seribu kemaafan juga dipohon terutamanya dari peringkat saya sendiri selaku wakil kepimpinan Sekretariat Masjid Al-Hikmah (SM) kerana sedikit terlewat untuk membuat sedikit perkongsian dan juga perutusan untuk semua mahasiswa sekalian. Tujuan utama ucapan ini tidak lain hanyalah untuk memberi sedikit muhasabah dan juga suntikan motivasi kepada mahasiswa sekalian dan untuk diri ini juga yang mana perlu saling ingat-mengingati satu sama lain yang dikatakan sentiasa ada kekurangan pada pandangan Yang Maha Pencipta.
Semester baru telah bermula untuk semua mahasiswa di KAL ini dan sudah tentu ada pelbagai cerita dan ragam yang dapat kita lihat di awal semester ditambah pula dengan pelbagai aktiviti yang mendatang di samping sibuk dengan waktu kuliah di kampus ini. Waktu sentiasa mendahului kita, setiap detik saat, minit, jam, berlalu begitu pantas. Maka, kita yang diberi anugerah akal ini perlulah berfikir bahawa usia kita semua bergerak meninggalkan kita seperti pergerakkan bumi dan cakerawala yang lain, ia terus melangkah meninggalkan manusia. Setelah usia berlalu, tiada siapa pun yang dapat melambai dan mengajak umur itu kembali mendekati dirinya. Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah diri semula ke mana umur yang telah diberikan selama ini dipergunakan.

Firman Allah SWT,
“Demi masa,sesungguhnya manusia berada dalam kerugian,kecuali orang-orang beriman dan mengerjakan kebajkan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.”(al-Asr :1-3)

Setiap orang sememangnya mempunyai azam masing-masing di awal tahun ini. Banyak harapan yang ditanam di dalam jiwa untuk dikotakan. Bagi saya, sama ada mempunyai azam baru mahupun impian lama yang mahu dikotakan, kita semua haruslah bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya. Dalam konteks mahasiswa, pelbagai tanggungjawab yang perlu kita pikul semasa berada di usia ini. Perlu kita semua ingat kedatangan kita ke menara gading ini dipenuhi dengan pelbagai cabaran yang perlu kita harungi. Sahabat semua perlulah tahu bahawa setiap yang kita usahakan mestilah dengan hati yang ikhlas, jangan sesekali berlaku hasad dengki serta perlulah telus dan berhikmah dalam membicarakan sesuatu.

Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakkan prasangka kerana sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari keburukan orang dan janganlah memfitnah satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang”(al-Hujurat:12)

Akhir kalam,sekali lagi dikesempatan ini saya mengajak seluruh ahli Sekretariat Masjid (SM) dan mahasiswa lain khasnya untuk menjaga dan memperbaiki diri masing-masing dalam segala aspek yang diceburi. Apa yang penting kita semua cubalah berazam untuk menjauhkan diri dari kemurkaan Allah dan melipatgandakan amal hanya kerana Allah dan yakin dengan balasan yang dijanjikan. Dengan ini saya mewakili kepimpinan Sekretariat Masjid memohon seribu kemaafan atas kekurangan yang ada pada saff kepimpinan SM kali ini dan berharap kerjasama semua pihak untuk terus membantu SM mengerakkan kerja-kerja dakwah islamiyyah serta mengucapkan selamat kembali ke lapangan kampus, selamat Tahun Baru Hijrah dan Masehi.

Sekian,wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Presiden Sekretariat Masjid Al-Hikmah,UMSKAL(90/10)

No comments: