Thursday, February 17, 2011

MENGHAYATI MAULIDUR RASUL



Tiada ungkapan bagi menceritakan kehalusan akhlak Rasulullah s.a.w. Baginda adalah contoh dan tauladan yang paling agung di dalam sejarah kehidupan manusia. Bukan sahaja seluruh makhluk menyayanginya bahkan Allah s.w.t amat menyayanginya.
Di dalam sebuah hadith Qudsi ada dinyatakan yang mafhumnya : " Kalau tidak kerana engkau, wahai Muhammad, nescaya Aku tidak ciptakan alam semesta ini." Di dalam Surah Al-Saba' ayat 28 pula, Allah s.w.t berfirman : " Tidaklah kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk membawa khabar gembira (rahmat) kepada umat manusia (seluruh alam) dan memberi peringatan-peringatan, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." Di dalam surah Al-Ahzab ayat 21, Allah berfirman : " Sesungguhnya pada diri Rasulullah s.a.w itu contoh teladan yang baik untuk kamu." Begitulah puji-pujian yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada kekasihnya Rasulullah s.a.w. Kita sebagai umatnya harus berbangga dan sewajarnya memikul tugas untuk mengembangkan risalah yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. Dengan itu semoga Allah akan terus merahmati umatnya dengan mengurniakan kesejahteraan dan keamanan.
Sepanjang bulan Rabiul Awwal ini, umat Islam merayakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul. Sememangnya dengan mengingati sejarah perjuangan baginda s.a.w akan menyegarkan rasa cinta dan kasih kita kepada beliau. Masih basah diingatan menerusi sejarah yang kita baca perihal halusnya akhlak baginda yang sentiasa mendahulukan kepentingan umatnya daripada dirinya sendiri. Sehingga di kala sakaratul maut pun baginda masih menyebut dan mengingati umatnya. Seorang rasul yang duduk dikalangan para sahabatnya sehingga sama-sama berlapar dikala ketiadaan makanan sedangkan di tangannya tesimpan khazanah perbendaharaan langit dan bumi sebagaimana dinukilkan oleh Imam Ja'far Al Barzanji di dalam Maulid Al Barzanji : " Rasul ikat perutnya dengan batu di ketika lapar, sedangkan ditangannya tersimpan kunci khazanah langit dan bumi."
Seorang Rasul yang sentiasa meminta dijauhkan dunia daripadanya dan meminta dimuliakan sebagai seorang yang miskin. Yang sentiasa bertaubat dan meminta ampun dari Allah sedangkan baginda adalah maksum iaitu terpelihara daripada dosa dan maksiat. Yang sentiasa gagah di medan juang menegakkan agama Allah sehingga luka dan patah gigi beliau di dalam peperangan . Begitulah tingginya keperibadian Rasulullah s.a.w yang patut kita contohi, agar dengan itu kita berharap akan beroleh barakah dan syafaat dan menjadi pendorong di dalam kita menegakkan agama Allah yang maha suci ini. Mengenai perayaan Maulidur Rasul mengikut riwayat Al Asyqawi bahawa ianya dilakukan selepas kurun yang ketiga Hijrah. Orang yang mula-mula melakukan sambutan Maulidur Rasul ialah Malik Muzaffar Abu Said yang memerintah pada tahun 586 Hijrah dan perayaan tersebut telah dihadiri oleh para ulama' besar dan para ahli sufi, pembesar-pembesar dan seluruh rakyat. Kebanyakan para ulama merestui Majlis Maulidur Rasul itu diadakan kerana ia banyak membawa kemenfaatan.
Mengikut Al Hafidz Ibnu Hajar, bahawa mengadakan Maulidur Rasul itu tidak menyalahi sunnah. Terdapat di dalam Kitab Sohih Al Bukhari dan Muslim. Diriwayatkan bahawa ketika Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa A'syura (10 Muharram), Rasulullah s.a.w bertanya : "Mengapa kamu berpuasa ?" Orang Yahudi menjawab : "Pada Hari Asyura ini, Fir'aun karam dibinasakan oleh Allah dan Nabi Musa a.s mendapat kemenangan . Kami berpuasa kerana bersyukur kepada Allah di atas rahmatNya itu." Mendengar jawapan Yahudi tersebut, Rasulullah s.a.w bersabda : "Kami yang lebih patut menghargai Nabi Musa daripada kamu," Berdasarkan riwayat ini para ulama' berpendapat, bahawa Rasulullah s.a.w mengakui perbuatan Yahudi tersebut yang mengingati peristiwa Nabi Musa a.s. Malah Rasulullah berkata bagindalah sepatutnya lebih mengingati peristiwa tersebut. Oleh kerana itu, para ulama' berpendapat tidak salah kita mengingati sejarah dan hari keputeraan Baginda Rasulullah s.a.w berdasarkah qias kepada riwayat tentang mengingati Nabi Musa a.s. Demikian menurut ijma' jumhur ulama'.
Tujuan utama di adakan Maulidur Rasul itu ialah untuk meniupkan semangat jihad di kalangan umat untuk menegakkan agama Allah di samping untuk kita mencontohi peribadi, akhlak dan perjuangan baginda serta mendapat barakah daripada bacaan Maulid.
Terdapat banyak kisah mengenai mereka yang mendapat kemuliaan dengan memuliakan Maulid Nabi s.a.w. Antaranya ada dikisahkan semasa pemerintahan Khalifah Harun Al Rasyid di mana ketika itu terdapat seorang pemuda di Kota Basrah yang dipandang rendah oleh masyarakatnya kerana tingkah akunya yang nakal dan jahat. Bagaimanapun beliau tetap mempunyai keistimewaan yang tersendiri kerana beliau suka menghadiri Majlis Maulidul Nabi s.a.w . Apabila tiba bulan Rabiul Awwal, beliau segera membersihkan tubuh dan pakaiannya serta memakai minyak wangi untuk menghadiri majlis Maulidur Rasul. Demikianlah amalannya pada setiap tahun yang dilakukan secara berkekalan. Suatu hari pemuda tersebut telah meninggal dunia, terdengar suara ghaib di angkasa : ' Wahai penduduk Basrah ! Saksikankanlah jenazah seorang wali Allah, dia mendapat kedudukan terhormat di sisiNya. Pada Malamnya pula ada di kalangan penduduk Basrah bermimpi bahawa pemuda itu datang memakai pakaian yang indah. Lalu mereka bertanya dengan apa beliau memperolehi kedudukan yang baik itu. Pemuda itu menjawab kerana dia sentiasa membesarkan Maulid Nabi s.a.w.
Di dalam satu kisah yang lain, pernah di suatu ketika di masa pemerintahan Khalifah Malik bin Marwan, seorang pemuda daripada Syam yang sangat gemar menunggang kuda dan pada suatu hari kudanya telah mengamuk dan memijak mati putera Khaifah Malik bin Marwan. Pemuda tersebut dihadapkan ke hadapan khalifah untuk diadili. Sebelum bertemu dengan khalifah, pemuda tersebut nampak cemas kerana takut diberikan hukuman yang berat di atas kesalahan kudanya. Maka dia pun berniat sekiranya terlepas daripada hukuman, dia akan mengadakan sambutan majlis Maulid Nabi s.a.w secara besar-besaran. Apabila Khalifah Malik bin Marwan datang, baginda tersenyum dan kemarahannya serta merta hilang apabila melihat wajah anak muda tersebut. Lalu Khalifah bertanya : "Adakah kamu menggunakan sihir." Maka pemuda itu menjawab : "tidak". Lalu Khalifah berkata: "Baiklah, beta maafkan kesalahanmu, tetapi katakan kepadaku apakah amalanmu." Pemuda itu menjawab: "Saya berniat sekiranya terlepas daripada hukuman yang berat ini saya akan melakukan Maulid Nabi s.a.w secara besar-besaran." Khalifah tercengang mendengarnya, lalu bertitah kepada pembantunya: "Ambil wang 1000 dinar dan berikan kepada pemuda ini untuk Majlis Maulid Nabi s.a.w." Betapa gembiranya pemuda tersebut dan dia dibebaskan dari hukuman.
Begitulah kebesaran Maulid Nabi s.a.w . Namun seperkara yang perlu diingatkan disini , bahawa tiada ertinya kita menyambut dan merayakan Maulid Nabi s.a.w dengan riang dan gembira tanpa kita berpegang teguh dan menghayati akhlak dan pengajarannya sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Jesteru itu marilah kita kembalikan Al-Quran dan al-Sunnah agar menjadi pedoman dan panduan hidup kita seharian sama ada di dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh kepada keduanya, kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah RasulNya (hadith nabi s.a.w)."

No comments: