Monday, May 9, 2011

Mati Hidup Semula?

DUNIA hari ini ibarat dewan peperiksaan kepada manusia, maka logiknya hidup ini penuh dengan ujian dan dugaan.Musibah atau kesusahan yang kita alami adalah satu bentuk ujian yang Allah berikan untuk mengukur iman kita.Malah, kenikmatan, kekayaan serta kesenangan juga adalah ujian kepada manusia untuk mengukur tahap kesyukuran kita pada Tuhan.Namun, apabila seseorang ditimpa ujian dan dugaan hidup, pasti timbul di dalam diri persoalan kenapa mesti aku, kenapa tidak orang lain? Atau keluhan aku tak mampu, aku tak sanggup hadapi ujian ini.

Tetapi sedar atau tidak ujian dan dugaan itulah yang membuatkan kita semakin kuat dan tabah malah semakin dekat dengan Tuhan.Ternyata setiap ujian seperti musibah, kesusahan, kekecewaan, kesakitan mahupun kekayaan, kemewahan atau kenikmatan ada hikmah dan tujuannya. Tujuannya dapat kita simpulkan seperti berikut:

Pertama, untuk menunjukkan di mana tahap iman kita. Umpama seorang pelajar yang menghadapi peperiksaan di sekolah untuk menguji sejauh mana pelajar itu faham apa yang dipelajari selama tempoh tertentu.Jika dia faham dan sedia, dia akan lulus. Begitu juga dengan iman, Allah uji kita untuk lihat tahap iman hamba-Nya. Kita tidak tahu sama ada iman kita meningkat atau menurun sekiranya tidak diuji.Apakah kita semakin dekat dan mengharapkan pada-Nya atau kita semakin jauh dan menyalahkan-Nya. Ingat, Allah tidak uji kita sia-sia, pasti ada hikmahnya yang perlu kita fikirkan.

Kedua, setiap ujian yang datang adalah peluang untuk kita meningkatkan iman dan keyakinan pada Tuhan.Ujian seperti angin dan iman seperti layang-layang. Semakin kuat angin semakin tinggi layang-layang terbang. Semakin banyak dugaan hidup semakin tinggi kedudukan kita di sisi Allah.Imam Muslim meriwayatkan, bahawa Nabi Muhammad saw bersabda (maksudnya): Allah tidak melihat rupa paras atau kekayaan kita, tetapi Dia melihat hati dan amalan kita bagi menentukan kedudukan manusia di sisi-Nya.

Ketiga, ujian dan dugaan hidup adalah didikan terus dari Allah S.W.T. Ini kerana ujian dan cubaan menjadikan manusia lebih baik, mantap, berilmu dan bersedia menghadapi dugaan kehidupan yang lebih mencabar lagi.Ini kerana hidup adalah proses pembelajaran. Kita tidak akan belajar apa-apa daripada perkara yang kita sudah tahu.
Kadang-kadang kita menganggap suatu perkara itu susah kerana kita belum pernah melakukannya. Sekiranya sesuatu situasi itu sudah kita tahu tentu lebih mudah untuk kita hadapinya.

Ujian juga sebenarnya adalah satu cara halus Tuhan untuk mendidik manusia supaya tidak terlalu cintakan dunia sebaliknya sentiasa merindui akhirat.Nabi s.a.w pernah bersabda, maksudnya: Dunia ini bagaikan penjara bagi orang beriman tetapi syurga bagi orang kafir.Ujian dan dugaan yang dihadapi membuatkan orang beriman menghadapinya penuh sabar serta sentiasa menanti-nantikan alam syurga yang penuh kebahagiaan.

Percayalah ujian, tribulasi, dugaan, musibah atau apa saja tahap kehidupan yang kita hadapi menjadikan kita lebih matang.Ujian datang bukan untuk sesatkan atau menjauhkan manusia dari Tuhan, tetapi jika kita bersabar, tidak meragukan hikmah Tuhan serta bertawakkal padanya nescaya kita mampu hadapi semuanya dengan tabah.



Tak sudi memandang tidak mengapa
Kerana ku mengerti aku insan hina
Tapi dengar apaku katakan
Untuk pedoman di hari muka

Dulu hidupku rasakan mati
Mata terbuka tapi tak berhati
Kiniku rasa dihidupkan kembali
Walaupun peritnya setengah mati

( korus )
Baru kukenal bulan dan bintang
Betapa indah dunia dipandang
Baru kukenal ayah ibu adik abang
Kerana dulu fikiran melayang

Jalan nak ku lalu masih panjang
Akanku tempuh hari mendatang
Kepadaku berilah peransang
Agar kejayaan dapatku julang

Manusia sepertiku usah kau hina
Kelak menambah sakit didada
Selagi aku bernama manusia
Tak lepas dari salah dan dosa

Salahku lakukan meruntuhkan nama
Kerana perbuatan mengikut rasa
Namunku bersyukur pada yang Esa
Setelah matiku hidup semula

No comments: