Wednesday, October 21, 2009

Penjara


'Rasul Melayu' kena 10 tahun
Oleh Rafidah Mat Ruzkimailto:Ruzkifidahruzki@bharian.com.my


SHAH ALAM: Lelaki yang mendakwa `Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad, dipenjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, dipercayai hukuman terberat pernah dikenakan bersabit kes penyebaran ajaran sesat. Abdul Kahar, 59, yang mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, turut diperintahkan menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman, Hulu Yam Baharu, pada enam bulan terakhir pelaksanaan hukuman penjara itu. Sebaik hukuman dijatuhkan oleh Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad, anak-anak Abdul Kahar segera berkumpul di belakang kandang tertuduh dan menangis sambil berpelukan.

Sementara itu, seorang anak lelaki Abdul Kahar ditahan di luar kamar mahkamah selepas prosiding berakhir kerana dikatakan menunjukkan beberapa isyarat lucah. Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Hidayat Abd Rani, berkata siasatan sedang dijalankan terhadap lelaki berusia 30-an itu yang memang dikehendaki Jais bagi membantu siasatan kes ajaran sesat yang pernah dibawa bapanya.
Jais akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki itu, hari ini, tetapi Mohd Hidayat yang dihubungi Berita Harian, tidak dapat mengesahkan mengenai dakwaan kononnya lelaki terbabit menggunakan pas media sebuah syarikat penyiaran untuk mengikuti prosiding, semalam. Terdahulu, Abu Zaky ketika membacakan penghakiman setebal 55 halaman yang mengambil masa hampir dua jam, berkata berdasarkan fakta kes, jelas Abdul Kahar melakukan kelima-lima tuduhan itu dan mahkamah berpuas hati dengan pengakuan salahnya sebelum ini. Abdul Kahar dihukum penjara tiga tahun dan enam sebatan bagi tuduhan mengikut Seksyen 7, iaitu menjelaskan doktrin palsu dengan menyatakan bahawa sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar saja dan ibadat haji adalah sia-sia dan merugikan. Bagi kesalahan mengikut Seksyen 8 (a) kerana mengisytiharkan diri Rasul Orang Melayu sedangkan pengisytiharan itu palsu serta bertentangan ajaran Islam, tertuduh dihukum penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara.
Tertuduh juga dihukum penjara masing-masing dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi kesalahan mengikut Seksyen 10 kerana mempersendakan Islam dengan perkataan amalan yang berhubung dengan agama Islam serta tuduhan mengikut Seksyen 13 kerana menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa. Bagi tuduhan mengikut Seksyen 12, iaitu menghina pihak berkuasa agama dengan mengingkari dan melanggar arahan Mufti, Abdul Kahar dihukum penjara setahun dan denda RM3,000 atau setahun penjara. Mahkamah memerintahkan hukuman bagi kelima-lima kesalahan itu dijalankan secara berasingan berkuat kuasa dari tarikh ditahan pada 16 September lalu. Abdul Kahar yang tidak bekerja, didakwa melakukan kelima-lima kesalahan itu di sebuah rumah di 44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Ulu Klang, Ampang, Gombak, antara 19 Mei hingga 23 Jun 2005. Dalam penghakimannya, Abu Zaky menegaskan sebagai ketua keluarga, Abdul Kahar sepatutnya menjalankan tanggungjawabnya seperti memastikan keluarganya menunaikan solat lima waktu, tetapi sebaliknya tertuduh mempersendakan ajaran Islam dan mengisytihar diri Rasul Melayu. "Berdasarkan watak dan latar belakang tertuduh, tertuduh mengaku jahil dan tidak berpelajaran tinggi dalam bidang agama tetapi mahkamah yakin tertuduh seorang yang dewasa boleh berfikiran waras dan sepatutnya memberi pengajaran yang baik," katanya. Abu Zaky berkata, tertuduh juga gagal membuktikan taubat nasuha yang dikatakan sudah dilakukannya, manakala peguam syarie yang mewakilinya gagal membuktikan tertuduh benar-benar bertaubat. Beliau berharap tertuduh mengambil peluang di pusat pemulihan untuk bertaubat, mendalami agama Islam dan perbaiki diri. Pendakwaan dilakukan Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abd Hamid serta Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Muhamad Nazri Basrawi dan Zusyarafain Md Yusof, manakala Abdul Kahar diwakili peguam syarie, Norazmi Mohd Arif.

No comments: