Saturday, October 24, 2009

Permata...

Rosmah gembira dengan peruntukan untuk Permata


DUBAI: Datin Seri Rosmah Mansor menyifatkan peruntukan RM100 juta untuk program Permata dalam Bajet 2010 adalah satu pengiktirafan terhadap kepentingan pendidikan dan penjagaan kanak-kanak di peringkat awal di Malaysia.

Isteri Perdana Menteri berkata, ia akan membolehkan projek-projek yang sudah dirancang di bawah inisiatif Permata dapat dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai rakan kongsi termasuk kementerian dan institusi pengajian tinggi.

"Saya gembira dengan perkembangan ini kerana ini bermakna lebih ramai kanak-kanak, termasuk di kawasan luar bandar, akan dapat belajar di taman didikan kanak-kanak yang baik menggunakan sukatan pelajaran terkini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Aidilfitri dan Deepavali dengan rakyat Malaysia yang tinggal di Emeriyah Arab Bersatu (UAE) di sini hari ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan peruntukan RM100 juta itu semasa membentangkan Bajet 2010 di Dewan Rakyat kelmarin.

Program Permata termasuk usaha untuk menubuhkan pusat-pusat Permata Negara bagi kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Program itu setakat ini telah diperkenalkan di 457 pusat jagaan kanak-kanak dan berjaya mendidik 17,565 kanak-kanak.

Pelajar yang memiliki kepintaran luar biasa dijangka mencapai kecemerlangan menerusi program Permata Pintar yang akan dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama University of Johns Hopkins, Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Rosmah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Dasar Permata Negara, berkata Malaysia memerlukan program khusus untuk membimbing kanak-kanak yang mempunyai kepintaran luar biasa supaya ibu bapa mereka tidak perlu menghantar mereka ke negara lain untuk pendidikan.

"Jika kita tidak mengusahakan sesuatu pada masa sekarang, kanak-kanak pintar ini mungkin akan bekerja di luar negara apabila mereka dewasa kelak dan keadaan itu akan merugikan Malaysia.

"Perkhemahan musim panas pertama bagi kanak-kanak berkenaan akan diadakan pada Disember," katanya sambil berharap ia akan dijadikan aktiviti tahunan yang bukan sahaja disertai kanak-kanak Malaysia tetapi juga rantau Asean dan lain.

Katanya, jika dibiarkan tanpa bimbingan sesuai, kanak-kanak berbakat berkenaan mungkin disalah tafsir sebagai nakal dan bermasalah.

"Sebab itu kenapa kita memerlukan program khas untuk membimbing mereka supaya bakat mereka tidak disia-siakan," katanya.

Satu lagi inisiatif Permata ialah Permata Seni yang berobjektif melatih pelajar pintar dan berbakat dalam seni persembahan. Ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Skim Permata Insan pula mensasarkan untuk mendidik pelajar untuk mempelajari, memahami dan mendalami Al-Quran. Program itu bagi pelajar berumur sembilan hingga 12 tahun akan ditabdir oleh Universiti Sains Islam Malaysia.

Rosmah berada di Dubai untuk menghadiri Forum Kepimpinan Wanita yang akan dirasmikan hari ini. - Bernama

No comments: