Monday, December 6, 2010

hijrah

assalamualaikum WBT.

lebih kurang 2minggu aku tak dapat nak posting kat blog nih.huhu.tapi pagi ini aku kembali menghadap laptop. lagipun baru ja aku sampai kampung,5hb yang lepas.perjalanan yang lama dari labuan ke sabah-Kuala lumpur-KEDAH DARUL AMAN. lamanya perjalanan bukan sebab apa.aku merantau sekejap di sabah,heheh.erm tapi perantauan aku tak la seperit perjalanan baginda rasulullah SAW semasa lakukan hijrah dahulu. kali ini bukan nak cerita tentang peristiwa hijrah tapi sedikit analisa yang telah dibuat oleh seseorang yang saya rasa menarik untuk dikongsi bersama.http://maalhijrah1429.blogspot.com/

Sekilas Pandang

Peristiwa Hijrah Rasulullah s.aw. dari Mekah ke Madinah amat signifikan kepada masyarakat Islam hari ini. Walaupun perjalanan peristiwa Hijrah amat merbahaya, namun ia adalah penentu kepada survival umat Islam. Terdapat beberapa perkara yang boleh dibuat analisa supaya umat Islam kini dapat mengambil pengajaran dan hikmah (wisdom) dari peristiwa besar ini.

1. Memahami misi dan visi

Menyedari dan memahami misi dan visi juga boleh diertikan mendahulukan yang lebih utama dari yang utama. Kota Mekah cukup sentimental dan mempunyai nilai nostalgia yang amat besar kepada umat Islam, apatah lagi kepada Rasulullah s.a.w. Ia adalah tempat baginda dan anak-anaknya dilahirkan, selain menjadi tempat ibadah utama kerana di situ terletaknya Ka'abah. Pengalaman penulis ketika mengerjakan fardhu Haji di Mekah pada tahun 2003, sedikit sebanyak telah memberikan gambaran tentang keadaan ini. Saya masih dapat mengingati khutbah yang disampaikan oleh Imam Masjidil Haram ketika sebahagian para jemaah Haji bersiap untuk pulang ke tanah air. Pastinya sebahagian para jemaah Haji berasa amat berat untuk meninggalkan kota Mekah yang memiliki begitu banyak kelebihan berbanding tempat-tempat yang lain. Bayangkan pahala satu waktu solat di Masjidil Haram menyamai 100,000 kali di tempat yang lain!! (sekadar satu contoh). Namun, umat Islam diseru untuk sanggup meninggalkan kota suci ini. Para jemaah Haji dijelaskan bahawa terdapat misi dan visi yang besar bagi mereka terutamanya bagi menegakkan agama Islam di tanahair masing-masing. Sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. suatu ketika dulu berasa berat untuk meninggalkan Kota Mekah yang tercinta. Dikatakan, ketika bergerak meninggalkan Kota Mekah, baginda telah berpaling untuk kali terakhir dengan penuh perasaan kerinduan dan kasih sayang kepada tanah kelahiran dan kota suci umat Islam ini. Namun, semuanya ditinggalkan bagi menjayakan peristiwa Hijrah. Jelasnya, umat Islam mestilah mampu untuk mengalahkan emosi dan sentimental value bagi menjayakan apa sahaja misi dan visi mereka.

2. Memahami secara realistik dan menyiapkan latihan

Rasulullah s.a.w. memahami secara realistik situasi kota Mekah yang tidak dapat dijadikan sebagai tapak pembangunan negara Islam. Baginda tidak ada pilihan yang lain selain dari berhijrah. Sebelum berlaku peristiwa Hijrah ke Madinah, baginda telah menyiapkan diri umat Islam tentang idea penghijrahan ini. Hijrah pertama ke Habsyah bukan sahaja bagi mendapatkan perlindungan dari Raja Najashi, namun ia dilihat sebagai suatu latihan dan persiapan awal. Ini untuk memahami kemampuan umat Islam dan menyiapkan mereka bagi melakukan Hijrah yang lebih besar iaitu ke Madinah. Oleh itu, umat Islam mestilah membuat perkiraan secara jujur, benar dan realistik serta menyiapkan diri dengan latihan yang secukupnya.

3. Merancang kerja secara strategik

Rasulullah s.a.w. telah merangka strategi yang amat berkesan bagi menjayakan peristiwa Hijrah ke Madinah. Antaranya ialah dengan mengadakan hubungan awal dengan masyarakat Madinah iaitu dengan menghantar utusan bernama Mas'ab bin Amir. Baginda juga telah mengadakan bay'ah (sumpah setia) dengan wakil masyarakat Madinah yang berkunjung ke Kota Mekah. Rasulullah s.a.w. juga telah membahagikan dua kumpulan utama iaitu golongan Muhajirin dan Ansar yang mempunyai peranan yang tersendiri dalam menjayakan misi Hijrah. Masing-masing telah dilengkapkan dengan motivasi kerja yang cukup tinggi sehingga mereka sanggup meninggalkan harta, keluarga dan apa sahaja. Mereka juga sanggup mengorbankan apa yang mereka pernah miliki. Namun, Rasulullah s.a.w. bukan sahaja menyiapkan modal insan tetapi juga modal kewangan kerana misi Hijrah tidak boleh berjaya tanpa adanya sumber dana yang mencukupi. Sebagai contoh, saidina Abu Bakr al-Siddiqi telah mendermakan seluruh hartanya dalam menjayakan misi Hijrah. Jelasnya, perancangan dan persiapan rapi dari segi modal insan, material dan gerak kerja yang tersusun rapi adalah resipi kejayaan sesuatu misi.

4. Pembahagian Tugas dan Pemain Utama Peristiwa Hijrah

Apa yang agak menarik dalam peristiwa ini ialah pemain-pemain utama dalam peristiwa ini adalah insan terpilih. Mungkin pada hari ini ia disebut sebagai pemberdayaan atau empowerment. Mereka yang terpilih ini telah melaksanakan tugas yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. dengan cekap, bersemangat atas rasa kecintaan dan keimanan yang cukup hebat. Pemain utama peristiwa Hijrah selain dari Rasulullah s.a.w. adalah:

a) Abu Bakr al-Siddiq r.a.
b) Ali bin Abi Talib k.w.
c) Abdullah bin Abu Bakr r.a.
d) Asma' bint Abu Bakr r.a.
e) Amir bin Fuhayrah r.a., dan
f) Abdullah bin Urayqat.

Kebetulan pula ejaan semua nama mereka adalah bermula dari huruf A (mengikut ejaan Romanise) mungkin boleh menjelaskan kehebatan yang dimiliki oleh mereka! Namun yang pasti mereka adalah yang terbaik dan telah melaksanakan tugasan yang diberikan dengan sempurna dan layak diberikan markah A (seumpama nama mereka bermula dengan A!)

a) Bermula dengan Abu Bakr al-Siddiq r.a., beliau adalah sebagai teman dalam perjalanan. Beliau merupakan sahabat yang paling rapat, yang paling "senior" dan juga paling tenang dalam menghadapi sitausi yang amat mencabar.

b) Ali bin Abi Talib k.w. pula diberi peranan untuk mengelirukan musuh dengan tidur di kamar Rasulullah s.a.w. Sebagai ahli keluarga yang rapat kehadiran Ali tidak disyaki oleh musuh dan berjaya memperdayakan musuh sehingga Rasulullah s.a.w berjaya keluar dengan selamat dari rumah tanpa disedari.

c) Abdullah bin Abu Bakr r.a. pula ditugaskan untuk mendapatkan maklumat terkini dan melaporkannya kepada Rasulullah s.a.w.

d) Asma' bint Abu Bakr r.a. pula berperanan untuk menyediakan makanan semasa Rasulullah s.a.w. dan bapanya bersembunyi dalam gua Thawr.

e) Amir bin Fuhayrah r.a. pula berperanan untuk menghilangkan jejak-jejak kaki Abdullah dan Asma' bint Abu Bakr yang berulang alik di sekitar tempat persembunyian Rasulullah s.a.w.

f) Manakala Abdullah bin Urayqat pula diberikan tugas sebagai penunjuk jalan ke Madinah. Walaupun bukan beragama Islam, namun kepakarannya mengenai seluk beluk jalan ke Madinah menyebabkan beliau dipilih. Oleh kerana beliau masih seagama dengan kaum Quraysh, ia dapat menghindari kecurigaan di kalangan pemuka Qurayh yang sedang memburu baginda. Oleh itu, pejuang Quraysh pasti tidak menyangka kerana Abdullah bin Urayqat adalah "orang mereka".

5. Keimanan yang tidak berbelah bagi

Keimanan kepada Allah dan Rasul adalah kunci utama kejayaan misi Hijrah. Iman adalah suatu yang bersifat abstrak. Namun, tindakan seseorang adalah manifestasi kepada keimanan mereka. Oleh itu benarlah sabda baginda, "Tiada iman (atau tidak sempurna iman) bagi mereka yang tiada sifat amanah" (Maksud Hadith). Begitu juga, "Seorang yang hendak berzina, tidak akan berzina jika dia beriman kepada Allah" (Maksud Hadith). Jelasnya, iman bukanlah suatu angan-angan atau perhiasan, tetapi ia adalah keazaman yang tinggi dan dibenarkan dengan tindakan yang tercetus dari keimanan. Jelasnya seandainya seseorang itu benar-benar beriman kepada Allah, pastinya dia tidak akan melakukan perbuatan pecah amanah, mencuri atau berzina. Begitu juga dalam peristiwa Hijrah, jelas menunjukkan keimanan kepada Allah dan Rasul di kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w. Malah sebelum berlaku peristiwa Hijrah, kisah Sumayyah dan Bilal jelas menunjukkan bukti keimanan yang tidak berbelah bagi. Seterusnya, keberanian Ali bin Abi Talib untuk tidur di kamar Rasulullah, sifat dermawan dan kesetiaan Abu Bakar untuk mendermakan seluruh hartanya, dan gerakkerja semua para sahabat baginda yang lain adalah cetusan dari keimanan mereka. Oleh itu, seharusnya umat Islam pada masa sekarang menghayati peristiwa Hijrah dan mengukur kembali tahap iman mereka dengan tindakan yang telah mereka lakukan. Bersempena dengan kedatangan tahun baru 1429H nanti, seharusnya kita dapat membetulkan kembali segala tindakan dan memastikan ia lahir dari cetusan dari keimanan kepada Allah dan Rasul.

Kesimpulan

Peristiwa Hijrah bukan sahaja berlaku kepada Nabi Muhammad s.a.w. tetapi juga kepada Nabi dan Rasul yang lain. Contohnya, Nabi Yaaqub a.s. telah berhijrah dari bumi Iraq untuk menghindari ancaman hasad dengki saudaranya. Nabi Ibrahim a.s. pula telah berhijrah ke Babil di Iraq dan kemudian ke Mekah sebagai menyahut perintah Allah. Nabi Luth a.s. pula pernah berhijrah ke negeri Syam dan kemudian menetap di Nablus. Manakala Nabi Musa a.s. pernah berhijrah meninggalkan Mesir kerana ancaman dari Firaun. Dalam konteks hari ini, penghijrahan bermaksud melakukan perubahan terhadap diri atau disebut anjakan paradigma iaitu berubah dari keadaan yang buruk kepada yang baik dan daripada keadaan yang baik kepada yang lebih baik. Berbekalkan peristiwa Hijrah, umat Islam seharusnya mengambil teladan untuk melakukan penghijrahan dalam kehidupan mereka. Ini sebagaimana maksud firman Allah swt dalam surah al-Ra'd ayat 15 "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum, sehingga mereka merubah keadaan diri mereka sendiri".

No comments: